Orang ramai masih lagi trauma setiap kali memikirkan nasib yang menimpa mangsa dan ahli keluarga.

Namun, kejadian seperti itu bukanlah yang pertama di negara ini bahkan sudah banyak kali berlaku tetapi masih tidak memberi kesedaran kepada orang ramai.

Tinjauan Utusan Malaysia ke perumahan bertingkat sekitar Kuala Lumpur baru-baru ini mendapati masih tiada tindakan keselamatan diambil oleh pihak pengurusan kediaman untuk mencegah perkara sama daripada terus berulang.

Aspek keselamatan di kebanyakan kediaman bertingkat ter­nyata masih jauh terkebelakang tanpa sebarang penambahbaikan daripada pihak pengurusan.

Selain kegagalan penghuni memastikan unit kediaman masing-ma­sing berpagar, kemudahan asas di pangsapuri se­perti koridor, balkoni, laluan pejalan kaki, taman permainan dan lif tidak dititikberatkan.

Persekitaran yang kurang selamat di pangsapuri itu mungkin tidak memberi risiko kepada orang dewasa, namun persekitaran bahaya yang tidak terkawal seperti itu cukup untuk mengancam nyawa kanak-kanak.

Itu belum mengambil kira aspek kebersihan yang masih berada pada tahap mengecewakan akibat sikap penghuni yang suka membuang sampah di tempat tidak sepatutnya.

Pemandangan seperti longgokkan sampah di atas bumbung, saliran longkang tidak ditutup dan tabiat membuang sampah dari kediaman bertingkat sudah menjadi kebiasaan di kebanyakan pangsapuri.

Sehubungan itu, penduduk menyeru kerajaan memperketatkan undang-undang melibatkan pihak pengurusan pangsapuri untuk memastikan aspek ke­selamatan di kediaman bertingkat dapat diperbaiki.