Sasaran bandar raya bertaraf dunia menjelang 2020 bukan perkara baru kerana mengikut rekod berita, ia dicanang sejak jawatan Datuk Bandar Kuala Lumpur disandang Datuk Seri Ab. Hakim Borhan di penghujung 2006 lagi.

Namun sayang, tahap keselamatan di tapak pembinaan masih jauh berbanding negara maju kerana operasi-operasi penguatkuasaan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) masih memperlihatkan ketidakpatuhan pemaju.

Timbul persoalan adakah kerana tenaga kerja asing biasa dikaitkan dengan pekerjaan 3D (kotor, sukar, bahaya) ia dijadikan justifikasi untuk mengabaikan keselamatan.

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa tapak projek di sekitar ibu negara mendapati aspek ke­selamatan tidak dititikberatkan yang bukan sahaja menjejaskan pekerja pembinaan, malah orang awam berdekatan projek.

Pemerhatian di sekitar Lembah Klang sendiri mendapati terdapat beberapa projek dengan pekerja pembinaan tinggal di bangunan yang sedang dibina.

Sesetengah pihak berkuasa tem­­patan membenarkan namun terdapat syarat-syarat berkaitan ke­se­­lamatan yang perlu dipatuhi pe­maju.

Seorang penduduk berhampiran yang hanya mahu dikenali sebagai Rahman berkata, pekerja bukan ha­nya menginap dalam kawasan projek malah menjadikannya penempatan yang lengkap dengan kedai.

“Bagaimana mereka boleh berasa selesa ketika ada risiko ke­mala­ngan? Mungkin mereka tiada pilihan kerana itu sahaja yang disediakan majikan tetapi situasi itu tidak memberi jaminan keselamatan kepada mereka,” katanya.