Kerja turapan yang ‘asal siap’ oleh sebahagian kontraktor menyebabkan permukaan jalan di situ pecah dan mendap.

Tinjauan Utusan Malaysia terutama di sekitar projek pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Klang (Suke) mendapati, keadaan jalan di kawasan itu bukan sahaja tidak rata dan beralun malah terdapat lubang serta lopak air di sana sini.

Lori besar yang membawa muatan keluar masuk dari tapak projek yang turut memuntahkan sisa simen dan batu-batu kecil ke permukaan jalan di situ memburukkan lagi keadaan.Situasi sama turut berlaku di laluan sepanjang kira-kira tiga kilometer dari Jalan Mamanda 1 hingga ke Jalan Ampang Mewah.

Keadaan ini memaksa setiap pemandu yang melalui laluan itu memperlahankan kenderaan mereka.

Persoalannya, sampai bila keadaan jalan rosak berulang akan berterusan dan di manakah pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi terlibat?.

Pengerusi Permuafakatan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Zon Pandan, Abd. Haffidz Md. Noor berkata, kualiti jalan di kawasan itu sangat teruk walaupun berulang kali diturap.

Katanya, kegagalan kontraktor melakukan kerja-kerja turapan mengikut spesifikasi merupakan faktor utama jalan rosak semula.

“Kegagalan PBT dan agensi terlibat memantau dan me­laksanakan kerja-kerja penurapan memburukkan lagi keadaan jalan di situ,” katanya.

Bagi Arunal Rashid Mydin, 52, pemaju projek Suke sewajarnya menyelenggara semua jalan keluar masuk di tapak projek dalam keadaan baik dan selamat.

Seorang penduduk lain di Jalan Ampang Mewah yang enggan dikenali berkata, mereka terpaksa mengambil inisiatif sendiri menutup jalan berlubang dengan batu bata selepas tiada sebarang tindakan diambil pihak berkuasa.