Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Pilah, Syahrul Nizam Saleh berkata, semua agensi yang berkaitan telah dimaklumkan mengenai perkara itu.

Selain itu, katanya, sebanyak enam lampu isyarat di sepanjang jalan tersebut akan ditutup bagi melancarkan pergerakan trafik dalam tempoh yang telah ditetapkan itu.

“Ini melibatkan lampu isyarat di persimpangan Ampang Tinggi, hadapan Sekolah Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Abdul Samad, Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Idris, SK Yam Tuan Hitam, Taman Rekreasi Ulu Bendul dan SK Ulu Bendul,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Menurut Syahrul Nizam, tiga persimpangan akan turut ditutup sementara iaitu persimpangan Jalan Undang Johol-Jalan Perpatih, Jalan Dato’ Undang Johol-Jalan Dato’ Abdul Manap dan Jalan Dato’ Undang Johol-Jalan Ulu Muar.

“Bagi memastikan kelancaran trafik, anggota polis trafik dan Jabatan Pengangkutan Jalan akan turut ditempatkan di tujuh lokasi tumpuan di Jalan Seremban-Kuala Pilah semasa cuti perayaan tersebut,” katanya.

Ujarnya, pengguna kenderaan yang ingin ke Pantai Timur dinasihati supaya tidak menggunakan laluan terbabit dari pukul 10 pagi hingga 10 malam mulai 30 Ogos hingga 3 September kerana ia merupakan waktu puncak dan berpotensi berlaku kesesakan.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lalu lintas boleh melayari Facebook, Info Trafik Rasmi Kuala Pilah atau Twitter, InfoTrafik_KP atau hubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah di talian 06-4842999. - UTUSAN ONLINE