Seorang pengusaha restoran, Arfasyaq Abdul Rahim, 35, ber­kata, tindakan menaikkan tarif air berkemungkinan akan turut men­dorong kepada peningkatan harga barangan, jualan dan perkhidmatan terutama di sektor peruncitan, perhotelan dan perniagaan.

“Sebagai peniaga, saya sama sekali tidak bersetuju dengan kenaikan harga tarif air tersebut ke-rana ini akan mendorong kepada kami untuk menaikkan harga barangan.

“Kami tidak mahu dilabel sebagai ‘cekik darah’ gara-gara men­jual makanan dan minuman de­ngan harga tinggi sedangkan mereka tidak tahu kos sebenar yang perlu ditanggung akibat kenaikan tarif tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bekas Menteri Besar Sela­ngor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada 4 Ogos lalu mendakwa pengguna air di tiga lokasi iaitu Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya akan menanggung tarif yang tinggi susulan pengambilalihan Splash pada harga RM2.55 bilion.

Sementara itu, Eksekutif Ke­wangan, Muhammad Aqil Aka­syah, 23, berkata, kerajaan negeri juga perlu mengambil kira soal be­ban kewangan ditanggung rak­yat akibat peningkatan kos sara hidup pada masa kini sebelum membuat keputusan untuk menaikkan tarif air.

“Saya harap kerajaan negeri tidak menambahkan lagi tekanan sedia ada malah berusaha mencari jalan dalam me­ngurangkan beban kewangan masyarakat seiring dengan Inisiatif Peduli Rakyat yang dicanang mereka selama ini.

Pekerja hotel, Mohamad Nabil Shamsudin, 25, pula berpendapat, penstrukturan industri air Selangor itu juga dilihat sebagai satu-satunya projek gergasi berimpak tinggi di negara ini yang berorientasikan pengguna.

“Ini kerana penstrukturan itu bakal dipadankan dengan komitmen mengekalkan tarif air pada kadar munasabah selain program pemberian 20 meter padu air percuma yang dilaksanakan sejak 2008.

“Saya cuma berharap supaya pengambilalihan Splash ini dapat memberi keuntungan kepada semua pihak dan tidak timbul isu bahawa rakyat menjadi mangsa dalam keputusan tersebut,” katanya.