MOHAMMAD HAJI ABDUL AZIZ
MOHAMMAD HAJI ABDUL AZIZ

Idea jam tangan G-Shock tercetus sejak 1981 lagi kerana ketika itu jam tangan dikasifikasikan sebagai barang perhiasan yang mudah rosak lebih-lebih lagi bila terjatuh.

Justeru, satu kajian telah dilakukan oleh seorang jurutera syarikat pengeluar jam tangan terkenal, Casio iaitu Kikuo Ibe untuk menghasilkan jam tangan yang tahan lama dan lasak.

Selepas kajian dan pembangunan dilakukan, model G-Shock pertama dikeluarkan adalah DW-5000C digital berwarna hitam.

Antara ciri-ciri yang ditetapkan dalam jam tangan tersebut adalah jangka hayat bateri 10 tahun, kalis air sehingga 10 bar serta tidak rosak jika jatuh di atas permukaan keras dari ketinggian 10 meter.

Untuk menghasilkan produk berketahanan sedemikian, 200 jam tangan prototaip dijatuhkan dari bumbung atau tingkap bangunan di tingkat tiga.

Oleh demikian, tidak hairanlah jam tangan Casio G-Shock terus menjadi pilihan terutama golongan belia yang gemar melakukan aktiviti lasak.

Sejak itu, G-Shock kini mempunyai peminatnya tersendiri. Malah di Malaysia pula terdapat ramai peminat tegar jenama jam tangan itu dan mempunyai lebih 100 koleksi peribadi.

Disebabkan itulah tercetusnya idea untuk menganjurkan festival ‘Malaysia G-Shock Megafest’ (MGM) untuk mempamerkan jam tangan G-Shock yang unik dan menarik.

Pencetusnya, Mohammad Haji Abdul Aziz memberitahu, majoriti jam tangan G-Shock yang dipamerkan dekat MGM di 1M4U Sentral, Puchong tidak terdapat di Malaysia.

“Daripada 10, lima atau enam orang rakyat Malaysia mesti memakai jam tangan Casio G-Shock. Bukan sahaja tahan lasak, malah harganya seimbang dan tidak terlalu mahal untuk dimiliki.

“Dalam pameran ini, 1,005 utas jam tangan dipamerkan dan dijangka hari esok akan masuk lebih banyak lagi untuk tontonan para peminat G-Shock.

“Terdapat pelbagai jenis dari jenis vintage hinggalah produk kolaborasi dengan selebriti dan filem.

“Acara ini pertama kali diadakan untuk mengumpulkan jenis-jenis G-Shock yang pernah dijual di seluruh dunia dan dijangka dapat dicatatkan dalam Malaysia Book of Record sebagai pameran jam terbesar.

"Dalam masa sama ia pasti dapat membangkitkan nilai sentimental terhadap jenama yang menjadi fenomena sejak dahulu lagi,” katanya ketika pelancaran MGM. - UTUSAN ONLINE.