Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, pengisian program yang menempatkan semua petugas media bermalam di rumah berkenaan jelas dapat merasai pengalaman baru serta menghayati budaya yang diamalkan penduduk setempat.

“Selama ini mereka hanya menulis menerusi penceritaan yang dibawakan orang tertentu sahaja tetapi kali ini mereka sendiri boleh melihat dan menghayati setiap budaya dan cara hidup yang diamalkan penduduk setempat.

“Semua peserta akan menginap di rumah panjang Kampung Belimbing Besi bersama-sama penduduk setempat yang terdiri daripada kaum Iban dan boleh mempelajari dan menghayati cara hidup dan budaya yang diamalkan penduduk di sini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak, Abang Shamshudin Abang Seruji dan Tuai Rumah Panjang Kampung Belimbing Besi, Lingga Tafi.

Seramai 40 pengamal media dari Kuala Lumpur dan Kuching menyertai Kembara Batang Lupar @ KPWKM 2017 selama tiga hari bermula semalam bagi meneroka keindahan alam semula jadi di kawasan Parlimen Batang Lupar. - UTUSAN ONLINE