Menterinya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, tema sambutan untuk tahun ini adalah Wilayah Ceria, Rakyat Sejahtera yang bertepatan dengan aspirasi kementerian untuk menjadikan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sebagai sebuah bandar ceria dalam aspek persekitaran yang bersih dan indah.

Beliau berkata, sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan kali ini sebanyak lima program baharu akan diperkenalkan iaitu Kempen Jom Bayar Saman, Malam Wilayah Persekutuan Berselawat, Treasure Hunt Wilayah Persekutuan, Majlis Khatam al-Quran Wilayah Persekutuan dan pertandingan melukis serta mewarna.

“Sempena kempen kibarkan bendera ini sebanyak 5,800 bendera diedarkan ke 25 buah sekolah dan 110 persatuan penduduk. Selain itu sebanyak 1,000 bendera serta bunting telah dipasang di Putrajaya.

“Harapan saya agar tema tahun ini dapat menyuntik semangat sayang dan rasa cinta kepada Wilayah Persekutuan dalam usaha memastikan keharmonian serta perpaduan rakyat terus dikekalkan bagi kebaikan dan kesejahteraan bersama,” katanya semasa berucap pada majlis pelancaran Kempen Kibar Bendera Wilayah Persekutuan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Kira-kira 1,500 peserta yang hadir pada kempen kibarkan bendera pagi ini turut menjayakan konvoi berkereta dan bermotosikal bagi mengedarkan bendera Wilayah Persekutuan kepada orang ramai sekitar Putrajaya.

Yang hadir sama, Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Seri Adnan Md. Ikshan dan Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Hasim Ismail.

Tengku Adnan berkata, menerusi Kempen Jom Bayar Saman, kementerian itu bersama-sama de­ngan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Perbadanan Putrajaya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menawarkan diskaun bayaran saman antara 10 hingga 50 peratus untuk tempoh tiga hari bermula 3 Februari depan.

Beliau berkata, sebagai menyahut saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak agar semua pihak melakukan penjimatan khususnya dalam penganjuran majlis dan program, pihak kementerian akan memperbanyakkan aktiviti bergotong-royong dan kenduri di peringkat Parlimen.

“Melalui program jimat cermat itu saya yakin semangat menjalin silaturahim sesama masyarakat akan lebih baik termasuk dengan adanya penganjuran program pemimpin mendekati rakyat,” katanya.