Menterinya, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata, walaupun kes penemuan kopi tersebut tidak melibatkan kopi-kopi yang dijual di mana-mana premis jualan namun Kementerian mengambil langkah berjaga-jaga bagi keselamatan dan kesihatan pengguna.

“Akan tetapi kes kopi bercampur dadah ini sangat pelik dan menimbul rasa hairan yang amat sangat kami di Kementerian.

“Kita tidak faham motif dan modus operandi sindiket yang memasukkan sebarang bahan dadah ke dalam paket kopi dan kemudiannya boleh di temui dan dikutip oleh orang ramai termasuk di tempat pembuangan sampah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Minggu Kempen Kesedaran Sempena Hari Kanser Sedunia 2018 anjuran Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) di Temple Of Fine Arts Kuala Lumpur, Brickfields di sini, hari ini.

Yang turut hadir Presiden NCSM, Dr Saunthari Somasundaram.

Beliau mengulas kejadian lima lelaki menjadi mangsa termasuk pitam, lemah dan letih keterlaluan akibat minum sejenis kopi campuran segera di Pulau Pinang.

Subramaniam berkata, tiada penemuan kes terbaharu dan mangsa-mangsa yang minum kopi tersebut kini beransur pulih.

Sementara itu dalam ucapan perasmian, Subramaniam berkata, pada tahun 2016 penyakit kanser merupakan penyebab kematian keempat paling penting dan menyumbang sebanyak 12.6 peratus dari semua kematian yang berlaku di hospital-hospital Kementerian Kesihatan di seluruh negara.

“Tentulah yang paling menyedihkan kebanyakan kes-kes kanser ini, iaitu 60 peratus dikenalpasti pada tahap yang sudah lewat, iaitu peringkat tiga dan empat,” katanya. - UTUSAN ONLINE