Pemandu dua buah kereta yang turut terlibat dalam kemalangan itu menghadapi saat -saat cemas apabila kenderaan mereka terbalik dan terbakar.

Itu merupakan sebahagian latihan simulasi kejadian kemalangan anjuran Lingkaran Trans Kota Sdn. Bhd. (Litrak) .

Ketua Jabatan Komunikasi Litrak, Shah Rizal Mohamed Fawzi berkata, pihaknya menyediakan latihan itu secara realistik untuk pasukan bertindak balas mengikut prosedur kecemasan yang ditetapkan termasuk menyelamat dan aktiviti pembersihan.

“Latihan ini juga membolehkan pihak Sprint untuk menilai keupayaan, perancangan dan prosedur ‘First Responder Activation’ sekiranya ada kecemasan atau kemalangan.

“Antara elemen yang yang dinilai sepanjang latihan adalah keberkesanan pelan kecemasan setiap agensi terlibat, waktu tindak balas, kawalan awam dan trafik, koordinasi Pusat Kawalan Trafik Sprint dan pelan pengurusan trafik Sprint,” katanya.

Shah Rizal berkata, jika terdapat kecemasan yang berlaku di terowong tersebut, pihaknya akan mengaktifkan laluan kontra yang mana pengguna dari arah Bukit Kiara atau Hartamas dilencongkan ke arah bertentangan arah timur, Terowong Penchala.

Latihan kecemasan yang berakhir 9.45 pagi tadi mendapat kerjasama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Petron Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), unit khas yang menangani bahan kimia berbahaya (Hazmat), Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Polis Peronda Lebuhraya (EMPV) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM). - UTUSAN ONLINE