Tinjauan Utusan Malaysia ke beberapa buah premis yang menawarkan perkhidmatan itu di sekitar ibu negara mendapati masih dipenuhi pelanggan untuk mendapatkan perkhidmatan mencuci dan me­ngeringkan pakaian.

Berdasarkan pemerhatian ada yang beratur panjang menunggu giliran masing-masing terutama untuk perkhidmatan mesin pengering.

Suri rumah, Sakinah Mohd. Ali, 43, berkata, dia memilih untuk mengeringkan pakaian di kedai dobi berhampiran rumahnya di Bandar Sri Permaisuri, Cheras kerana cuaca hujan sepanjang minggu lalu.

Ibu kepada tiga anak ini memberitahu, keadaan sebegini memberinya sedikit tekanan kerana terpaksa memastikan keperluan kesemua pakaian seluruh ahli keluarganya mencukupi setiap hari.

“Selain pakaian anak-anak yang bersekolah, saya perlu memastikan pakaian kerja suami dan pakai­an harian lain diurus dengan baik.

“Sepanjang minggu lalu saya cuba menyelesaikan tiga bakul pakaian lembab melalui pelbagai cara termasuk menyi­dainya di pagar besi pintu hadang dan bawah kipas siling di dalam rumah.

“Namun tiada satu pun yang betul-betul kering kerana angin terlalu sejuk serta suhu cuaca dan mengeringkannya di kedai adalah pilihan terbaik,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Sementara itu, pembantu jurujual, Mohd. Muaz Rosli, 28, berkata, rutin mencuci pakaian­nya pada setiap hujung minggu pada kali ini agak luar biasa kerana kedai yang biasa dikunjungi dipenuhi pelanggan dua kali ganda.

“Jika sebelum ini golongan bujang dilihat lebih ramai mendapatkan perkhidmatan mencuci dan menge­ring, sepanjang minggu lalu dan ming­gu ini sebaliknya apabila dipenuhi golongan suri rumah.” katanya.