Penduduk mendakwa sikap tidak bertanggungjawab segelintir warga asing yang suka membuang sampah dan berkumpul beramai-ramai menjadikan kehidupan mereka terganggu.

Timbalan Ketua Wanita MCA Wilayah Persekutuan, Heng Sinn Yee berkata, kebanjiran warga a­sing itu turut didakwa menyebabkan masalah jenayah seperti kecurian dan pecah rumah semakin menjadi-jadi.

Menurutnya, warga asing itu turut didakwa membuat bising tanpa mengira siang dan malam sehingga mengganggu penduduk setempat.

“Perkara tersebut akan dimaklumkan kepada Jabatan Imigre­sen, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Alam Flora dan polis untuk tindakan lanjut.

“Pihak berkuasa perlu me-lakukan rondaan dengan lebih kerap kerana kami difahamkan rondaan jarang dilakukan kerana terletak di pinggir bandar.

“Selain itu, kami akan membantu penduduk membuat permohonan menambah bilangan lampu jalan di sekitar kawasan pangsapuri dan meminta Jabatan Imigresen menjalankan operasi bagi membanteras warga asing tanpa izin di kawasan ini,” ujar­nya.

Sementara itu, seorang penduduk, Fatimah Mohd. Mahidin, 54, mendakwa hampir 50 peratus daripada penghuni di pangsapuri berkenaan dihuni warga asing dari Myanmar, Nepal, Bangladesh, Indonesia dan Vietnam.

“Akibat daripada sikap pengotor mereka, kawasan pangsapuri ini dilabelkan sebagai lokasi panas denggi dan lebih 10 kes dilaporkan dari Januari sehingga kini,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Kok Koei Lan, 65, turut melahirkan kebimbangan terhadap keselamatan diri dan keluarga apabila warga asing itu sering membuang sampah dari tingkat atas pangsapuri.

“Tindakan mereka membuang sampah termasuk botol kaca dari tingkat atas benar-benar serius. Pernah sekali kepala saya terkena botol plastik ketika hendak ke pasar berhampiran,” katanya.