Daripada jumlah itu, kira-kira 100 warga Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) turut menyertai larian itu, sekali gus memeriahkan acara sambutan ulang tahun perbadanan.

Walaupun mereka bukan pengayuh tegar tetapi mereka tetap bersemangat untuk menyertai acara ini. Dalam acara itu, peserta menggunakan pelbagai jenis basikal termasuk road bike, mountain bike, folding bike, fixie bike dan touring bike.

“Sebanyak dua kategori dipertandingkan iaitu laluan 25 kilometer dan 10 kilometer,” menurut satu kenyataan kepada S2.

Program anjuran MyIPO itu diadakan sempena sambutan ulang tahun pengkorporatan MyIPO yang ke-15. Tujuan lain adalah mempromosikan cara hidup sihat melalui aktiviti riadah berbasikal.

Selain itu, ia turut mendekatkan anggota MyIPO dengan masyarakat, sekali gus meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan harta intelek di negara ini.

Setiap peserta menerima sehelai baju-t dan dihadiahkan medal penyertaan sejurus menamatkan kayuhan.

MyIPO turut menyediakan sarapan untuk semua peserta, selain mengadakan beberapa acara menarik termasuk persembahan muzik, pameran MyIPO dan cabutan bertuah yang menampilkan pelbagai hadiah menarik, antaranya motosikal, basikal, televisyen LED, telefon pintar, kamera, jam tangan, aksesori basikal dan barangan untuk aktiviti luar.

Sesi penerangan mengenai fungsi MyIPO dan perkhidmatan yang ditawarkan turut diadakan.

Pameran yang diadakan pula diharap dapat memupuk kefahaman khususnya pemilik perniagaan supaya melindungi harta intelek mereka melalui pendaftaran paten, cap dagangan, hakcipta, reka bentuk perindustrian dan petunjuk geografi.