Pengarah Mahkamah Kuala Lumpur, Ahmad Kamar Jamaludin mengakui, isu tersebut merupakan masalah di kawasan meletak kenderaan di kompleks berkenaan.

“Kenderaan yang diletakkan di tepi-tepi jalan telah menimbulkan masalah kepada pihak pengurusan. Jabatan Bomba juga telah mengeluarkan notis kepada mahkamah kerana sekiranya berlaku sebarang masalah, jentera Bomba memang tidak boleh masuk atau melalui jalan utama untuk ke kompleks mahkamah,” ujar Ahmad Kamar.

Dalam sesi pertemuan yang diaturkan oleh Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP) dengan pihak media hari ini, Ahmad Kamar berkata, pihak pengurusan Mahkamah Kuala Lumpur telah mengadakan beberapa siri perbincangan dengan pihak yang berkenaan termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berhubung cadangan mengadakan tempat meletak kenderaan bertingkat di bahagian hadapan.

Namun begitu, disebabkan masalah berkaitan hak milik tanah, menurut Ahmad Kamar, langkah mengatasi masalah kenderaan yang membanjiri di lokasi tersebut mungkin akan memakan masa yang panjang.

Pertemuan yang berlangsung lebih sejam itu diadakan oleh PKPMP bagi menjalin kerjasama dua hala dengan pengamal media supaya dapat memahami isu dan masalah yang dihadapi kedua belah pihak.

PKPMP sebelum ini telah membuat sesi pertemuan yang serupa di Istana Kehakiman di Putrajaya dan Kompleks Mahkamah Shah Alam dan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur merupakan destinasi ketiga.

Selain masalah letak kenderaan, pihak media juga membangkitkan isu tentang suasana panas di dalam mahkamah sehingga menyebabkan ketidakselesaan di kalangan orang awam dan kakitangan mahkamah sendiri.

Ahmad Kamar berkata, beliau difahamkan masalah tersebut disebabkan pertukaran kompresor pendingin hawa yang lama sukar untuk diganti atau dipadankan dengan model yang baharu.

“Bagi mengatasi masalah tersebut, pihak pengurusan telah menyediakan pendingin hawa mudah alih di mahkamah yang mengalami masalah kerosakan pendingin hawa,” ujar Ahmad Kamar.

Sesi perjumpaan tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Pengarah Unit Komunikasi Korporat Pejabat Ketua Pendaftar, Mahkamah Persekutuan Malaysia, Suzarika Sahak, Hakim Mahkamah Sesyen, Wan Mohd. Norhisham Wan Yaakob dan beberapa pegawai di bahagian keselamatan, pentadbiran dan kewangan.

Menyentuh masalah kekurangan maklumat yang dibekalkan dalam laman sesawang e-kehakiman untuk pihak media mencari maklumat berkenaan kes-kes mahkamah di seluruh Malaysia, Ahmad Kamar berkata, pihaknya akan membuat semakan berhubung aduan tersebut. - UTUSAN ONLINE