Sebaliknya, peluang itu telah dikhianati dengan menjadikannya sebagai stor penyimpanan barangan.

Lebih malang, sikap tidak bertanggungjawab itu jelas melanggar syarat ditetapkan sekali gus mengaut keuntungan atas angin dengan cara jalan pintas.

Skuad Terjah minggu ini membongkar kegiatan itu di Pusat Penjaja Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur dengan cara menyewakan premis untuk dijadikan stor kepada penjaja Bazaria Larut Malam yang berhampiran.
 


KUALA LUMPUR 23 Mac  -  Peluang perniagaan yang disediakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi pembangunan pusat penjaja kepada warga tempatan disalah guna pihak tidak bertanggungjawab.

Perkara itu dikesan di Pusat Penjaja Danau Kota, Setapak di sini yang menyediakan perkhid­matan sewa premis kepada orang lain untuk dijadikan stor penyimpanan barang.

Tinjauan Skuad Terjah mendapati, sejumlah enam unit kedai di tingkat atas digunakan sebagai stor peniaga yang berniaga di Bazaria Larut Malam di kawasan berhampiran.

Utusan Malaysia turut difahamkan, perkhidmatan stor itu disediakan pemilik premis yang menyewa dengan DBKL.

Menurut salah seorang peniaga Kamariah Mamat, 35, pemilik unit sewa itu tidak bero­perasi sejak setahun lalu ekoran kurang mendapat sambutan.

“Segelintir pemilik sewa premis itu mula menghentikan operasi perniagaan dan sebagai pu­langan modal, mereka bertindak menyediakan per­khidmatan sewa ini kepada peniaga bazaria untuk dijadikan stor penyimpanan barang.

“Begitulah cara mereka mendapatkan ‘untung atas angin’ memandang­kan perniagaan asal tidak mampu bertahan lama,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Kamariah mendakwa, tindakan sesete­ngah pemilik sewa unit tersebut yang tidak bertanggungjawab itu memberi kesan sam­pingan kepada peniaga lain.

“Mereka berbuat begitu ke­rana akan mendapat pulangan daripada sewa premis, tetapi kami yang berniaga sentiasa berdepan masalah kekurangan pelanggan hampir setiap hari.

“Jika tempat ini tidak begitu meriah, orang tidak akan datang dan akhirnya, kami yang menanggung risiko kerugian,” katanya.