Pengarah Bahagian Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pendidikan, Rozainum Ahmad berkata, acara selama empat hari itu berlangsung dengan meriah di mana pemilihannya sejajar dengan hasrat kerajaan negeri Selangor menjadikan bandar ini sebagai Kota Seni.

“Karnival ini juga dilihat sebagai derap Transformasi Negara, dalam usaha kementerian memangkin berkeperibadian unggul untuk menjadikan aspirasi negara, mengemudi bangsa, memacu setiap rencana

kepimpinan nusa agar negara kita berswadaya untuk mencapai taraf negara maju di pentas dunia.

“Seperti agenda pendidikan Malaysia yang digalas bersama dengan sinergi kudrat dan hati yang sama, aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025 mampu kita terjemah menjadi nyata di pentas pendidikan bertaraf dunia,” katanya ketika berucap pada Malam Gala sempena karnival itu di Bangunan Teater Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Yang turut hadir Pengarah Pendidikan Negeri Selangor, Mohd. Salleh Mohd. Kassim; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Adat Melayu dan Warisan negeri, Datuk Paiman Keromo; Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara. Ghazali Bidin dan Pengarah Galeri Shah Alam, Prof Raja Datuk Zahabuddin Raja Yaacob.

Menurut Rozainum, selain menyemarakan aktiviti kokurikulum dalam kalangan murid tanpa mengira keturunan program ini juga dapat meningkatkan potensi diri murid serta memelihara warisan seni negara dapat memperkembangkan bakat murid mereka bidang kokurikulum.

“Program lebih berkonsepkan pembangunan bakat dan kreativiti murid dalam bidang kesenian dan kebudayaan. Bakat yang ada pada anak-anak ini bukan sahaja dipersembahkan di peringkat negeri atau kebangsaan, malah mereka berpeluang mengadakan persembahan ke peringkat antarabangsa.

“Inilah yang kita mahukan, iaitu kemenjadian murid dalam membina dan memperkukuhkan jati diri, perpaduan integrasi kaum dan negara bangsa. Pihak kementerian sentiasa menyokong segala usaha murni yang dijalankan di peringkat sekolah hinggalah ke peringkat negeri untuk pelaksanaan program atau aktiviti kokurikulum,” katanya lagi. -UTUSAN ONLINE