Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. M. Loga Bala berkata, melalui karnival itu penduduk dapat berkumpul bersama-sama menjalankan aktiviti sukan, berhibur, berniaga dan mendapatkan perkhidmatan daripada pameran pelbagai agensi kerajaan.

“Saya mengucapkan syabas kepada penduduk PPR Beringin ke-rana tanpa pengorbanan dan komitmen mereka, penganjuran program ini tidak akan menjadi kenyataan.

“Ini menunjukkan masyarakat sentiasa menyokong usaha ini bagi memelihara keunikan dan kepelbagaian warisan serta budaya tradisi kita,” katanya ketika berucap merasmikan karnival tersebut baru-baru ini.

Yang turut hadir Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kepong merangkap penaung program, Datuk Norizan Ali dan Timbalan Pengarah Kanan Jabatan Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Komuniti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Mohd. Muzammer Jamaluddin.

Karnival julung kali diadakan itu diadakan dengan kerjasama Persatuan Wanita Unity Malaysia (PERWIM), persatuan penduduk PPR Beringin dan DBKL.

Sementara itu, beliau berkata, pihak kementerian mempertimbangkan keperluan mewujudkan laluan keluar baharu untuk lebih 8,000 penduduk PPR Beringin yang hanya bergantung kepada satu laluan keluar melalui Taman Beringin.

Norizan pula berkata, selama 13 tahun penduduk terpaksa berdepan masalah dengan laluan tunggal berkenaan.

“Dengan pertambahan penduduk, ditambah dengan adanya PPR Sri Aman, laluan menjadi semakin sesak terutamanya pada waktu pagi.

“Kita minta dibuka laluan terus ke Tenaga Nasional Berhad Jalan Kepong tanpa perlu melalui Jalan Jinjang Utara agar penduduk dapat akses jalan yang lebih baik,” katanya.