Presidennya, Datuk Karim Ibrahim berkata, penganjur mendapat ‘lampu hijau’ untuk mengadakan larian tersebut jika mereka membayar yuran kebenaran rasmi, atau sekiranya gagal dijelaskan sehingga hujung bulan ini, KOM tidak teragak-agak untuk mendapatkan nasihat undang-undang.

“Kami cuma nak acara maraton ini dianjurkan oleh pihak-pihak tertentu setelah menjelaskan yuran kebenaran rasmi.

“Kami tidak mahu mereka menggunakan pihak atasan, dan menafikan hak kami selaku Badan Bukan Kerajaan (NGO) untuk mencari dana kewangan bagi pembangunan sukan olahraga.

“Yuran tersebut ada dua cara pembayaran, pertama secara sekali gus, manakala kedua menerusi bayaran setiap penyertaan.

“Kami akan mengambil tindakan lanjut selepas mendapat nasihat daripada peguam. Saya percaya ada pihak tertentu cuba menjana pendapatan.

“Kalau Maraton Kuala Lumpur Standard Chartered pun boleh bayar (yuran kebenaran rasmi), kenapa mereka tidak?” katanya dalam sidang akhbar yang berlangsung di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM), di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Karim berkata penganjur tersebut telah menggunakan khidmat Persatuan Olahraga China (CAA) dan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia untuk menganjurkan acara berkenaan yang dijadualkan berlangsung pada 1 Oktober ini di Dataran Merdeka.

Dianggarkan acara maraton tersebut mampu menjana pendapayan sejumlah RM40 juta, dengan sasaran seramai 20,000 peserta.

-habis./././