Landskap kampung yang dahulunya mendamaikan kini ba­gaikan musnah dalam sekelip mata selepas kawasan di tengah-tengah kampung itu dijadikan tempat pembuangan tanah bercampur sampah dan sisa industri oleh kontraktor tidak bertanggungjawab.

Utusan Malaysia difahamkan, masalah bermula selepas kegagalan projek penyambungan jalan untuk menghubungkan laluan kampung yang selama ini dipisahkan dengan kawasan lembah.

Meskipun projek itu gagal dilaksanakan kerana keadaan tanah yang dikatakan sering mendap, operasi keluar masuk lori dan jentera berat ke tapak seluas satu hektar itu tetap berterusan sehingga menimbulkan persoalan dalam kalangan penduduk.

Kerja-kerja membuang tanah bercampur sampah dan sisa industri di kawasan itu sejak hampir dua tahun lalu itu bukan sahaja mencacatkan pemandangan bahkan menyebabkan bau busuk, masalah habuk dan operasi lori pengangkut yang bertali arus di kawasan kampung sehingga mengancam nyawa penduduk.

Tinjauan Utusan Malaysia ke kawasan itu mendapati laluan utama penduduk mula rosak manakala rumah-rumah dan premis perniagaan dicemari debu.

Beberapa peniaga yang ditemui juga mengaku kehilangan pelanggan yang tidak lagi singgah di restoran dan gerai mereka akibat persekitaran berdebu dan la­luan kaki jalan yang tidak selamat.

Pengerusi persatuan pendu­duk kampung ber­kenaan, Datuk Md. Nor Hashim berkata, sekiranya projek pe­nyambungan jalan itu dihentikan, penduduk mahu tahu apa motif kawasan terbabit terus ditimbuni tanah dan sampah-sarap yang tidak diketahui dari mana datangnya dan untuk tujuan apa.

“Penduduk sebelum ini hanya mahukan laluan sambungan antara Jalan 3/1 dengan Jalan 6/1 tetapi sekarang kampung ini dijadikan tapak pembuangan.

“Kami syak ada sesuatu yang tidak betul sedang berlaku dan ada pihak yang mengambil ke­sempatan,’’ katanya.

Justeru itu Md. Nor berkata, penduduk kampung tidak akan berdiam diri dan mahu kerajaan campur tangan bagi menghentikan ‘projek’ berkenaan yang mengancam ketenteraman penduduk kampung.

“Kami telah merujuk isu ini kepada DBKL sejak dua tahun lalu dan mereka telah mengambil beberapa tindakan termasuk mengeluarkan Perintah Tahan Kerja sebanyak dua kali namun ‘projek’ itu masih berterusan,” katanya.

Sementara itu, beliau turut mendesak supaya pihak yang bertanggungjawab dalam kerja-kerja pembuangan tanah dan sampah di situ membersihkan semula kawasan berkenaan.