Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, peranan Kampung Baru yang menjadi satu-satunya kawasan kampung warisan di tengah-tengah bandar memberi nilai tambah bagi mempromosikannya sebagai hab pelancongan makanan warisan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata, pelbagai jenis makanan dari seluruh pelosok negeri dapat ditemui di Kampung Baru baik dari Utara ke Selatan mahupun aneka juadah tempatan dari Pantai Timur mudah diperoleh warga kota dalam satu kawasan setempat.

“Bagi menggalakkan usahawan makanan tempatan bergiat aktif dan pergerakan mobilitinya mudah dan teratur penggunaan ‘food truck’ adalah satu medium baharu yang beri kemudahan kepada usahawan muda berdaya saing dan kreatif berniaga.

“Peruntukan RM120 juta sedia diagihkan kepada mana-mana peniaga berminat melalui permohonan menerusi Bank Rakyat dalam proses pemilihan berdasarkan kriteria tertentu,” katanya selepas merasmikan festival berkenaan yang dianjurkan Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi PKB, Datuk Affendi Zahari Datuk serta Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Ahmad Fauzi Zahari yang sempat melawat gerai-gerai jualan sambil beramah mesra bersama kira-kira 3,000 warga kota dan pelancong asing yang teruja mencuba pelbagai aneka juadah.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, kerajaan akan memantau harga minyak dengan mengekalkan cara berbelanja yang berhemah dan mengekalkan formula harga yang masih ditentukan melalui apungan harganya dan ini di luar kawalan kerajaan.

Namun demikian, katanya, apa yang mampu kerajaan lakukan adalah memberi bantuan insentif golongan memerlukan supaya mereka tidak jatuh ke paras kemiskinan.

“Sampai satu peringkat kenaikan harganya memerlukan kerajaan membuat perbincangan, kita akan bincang namun harga terkini masih boleh dikawal kalau dibandingkan harga yang pernah dicatat pada tahun 2008 iaitu RM2.70 seliter,” katanya. - UTUSAN ONLINE