Penduduk mendakwa, laluan kampung iaitu Jalan Haji Zam Zam sepanjang kira-kira 300 meter tidak seharusnya menjadi mangsa projek yang tiada kena mengena dengan kepentingan mereka.

Kebimbangan itu tercetus setelah kerja-kerja menanda bahagian jalan yang akan dikorek dilakukan oleh pemaju pangsapuri Estana Court 2 (Cassamas Kondominium) baru-baru ini.

Penduduk, Badaruddin Abd. Aziz berkata, kerja-kerja mengorek di hadapan puluhan buah rumah itu akan menyukarkan mereka untuk keluar masuk atau lebih teruk lagi terpaksa meninggalkan kende­raan jauh dari rumah.

“Bayangkan kesengsaraan yang bakal dihadapi kami jika jalan yang sudah sedia sempit ini dikorek untuk pemasangan paip air ke Estana Court 2 yang baharu siap dibina itu.

“Sepatutnya pemaju cari alternatif lain dan tidak libatkan jalan kampung kerana projek ini mungkin menyebabkan pelbagai lagi masalah kepada penduduk,” katanya.

Badaruddin berkata demikian ketika ditemui Utusan Malaysia bersama kira-kira 100 orang penduduk Kampung Pasir yang membuat bantahan terhadap projek berkenaan, semalam.

Menurut Badaruddin, jika diteruskan projek itu juga akan menyebabkan kesesakan Jalan Haji Zam Zam bertambah teruk kerana laluan itu turut dikongsi bersama ribuan penghuni Estana Court 1 sejak hampir 18 tahun lalu.

Katanya, masalah kesesakan akibat ‘perkongsian’ jalan keluar ke Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) itu tidak sepatutnya berlaku kerana pemaju pangsapuri berkenaan telah membina jalan alternatif yang menghubungkan penduduk dengan Taman Ukay Bistari.

“Malangnya laluan tersebut telah dihalang dengan tembok oleh penduduk Taman Ukay Bistari meskipun pembinaannya mendapat kelulusan MPAJ,” katanya.

Badaruddin berkata, masalah kesesakan laluan itu telah berlarutan sejak 30 tahun lalu ekoran kegagalan pemaju merancang laluan keluar masuk penduduk pangsapuri di kawasan itu.

“Pemaju seolah-olah menutup mata mengenai pertambahan jumlah penduduk (Estana Court 1 dan 2) dan tidak peduli mengenai laluan yang sesak.

“Oleh itu kami menggesa supaya MPAJ membuka laluan alternatif berkenaan atau pemaju membina laluan keluar masuk kekal seperti yang telah dirancang dan diluluskan oleh Jawatankuasa Pusat Setempat,” katanya.

Sehubungan itu, penduduk meminta supaya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Kerajaan Negeri Selangor campur tangan bagi membantu menangani masalah yang membelenggu mereka selama ini.