Lebih menarik, hidangan barat ini diberikan sentuhan cita rasa tempatan bagi memenuhi selera orang ramai dan pastinya keenakan masakannya bertambah memikat dengan gabungan sos yang menyelerakan seperti lada hitam, cendawan dan berbeku.

Antara kedai yang menjadi sebutan di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan ini ialah Kafe Taman Ku yang terletak di Jalan Kesidang, Presint 18 di sini yang dikendalikan oleh Yuslina Yusup, 47, bersama anak lelakinya, Farris Fadzil, 21.

Menawarkan lebih 40 menu, Yuslina memberitahu, restorannya bukan 100 peratus berkonsepkan masakan barat kerana turut menyelitkan menu-menu tempatan bagi memberi lebih pilihan kepada pengunjung, terutama mereka yang kurang menggemari masakan barat.

"Kami sedar pengunjung yang datang ada pelbagai cita rasa. Malah dalam satu keluarga pun mereka menggemari makanan-makanan yang berbeza. Mungkin si bapa ingin makan makanan barat, manakala emak dan anak mahukan hidangan tempatan.

"Disebabkan itu kami membuat keputusan untuk 'menyelitkan' menu-menu tempatan dalam usaha memberikan lebih pilihan kepada pengunjung. Antara menu yang menjadi pilihan pelanggan ialah grilled lamb yang berharga RM18.90," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Beroperasi setiap hari bermula pukul 12 tengah hari hingga 10 malam, Kafe Taman Ku yang mampu memuatkan 50 pelanggan dalam satu-satu masa diyakini dapat memenuhi cita rasa ramai kerana hidangan yang disediakan memenuhi citarasa pelanggan.

Menurut Yuslina, antara menu yang ditawarkan di Kafe Taman Ku ialah grilled salmon steak, fish and chips, lamb chop, grilled chicken, swedish meat balls, classic carbonara dan banyak lagi namun, masakan tempatan juga mendapat permintaan tinggi seperti nasi goreng belacan.

"Yang paling mendapat permintaan ialah grilled lamb, keistimewaannya ialah perapannya yang disediakan sendiri oleh tukang masak kami yang berpengalaman. Menambahkan kelainan ialah menu ini dihidangkan bersama kepingan lemon goreng," katanya yang lebih mesra dengan panggilan Nina.

Kafe Taman Ku amat menitikberatkan soal kualiti dan kesemua bahan-bahan yang digunakan adalah bahan-bahan segar tidak kira bahan basah atau pun kering, maka tidak hairanlah kafe berkenaan menjadi pilihan pelanggan termasuk mereka yang ingin meraikan sesuatu majlis seperti sambutan hari jadi.

"Di sini kami cukup menitik beratkan soal kualiti kerana kami mementingkan kepuasan pelanggan. Pada masa yang sama kami sentiasa menilai kembali menu-menu yang disajikan dan akan turut mengambil perhatian segala komen yang diberikan pelanggan," katanya.

Sementara itu katanya, harga yang ditawarkan pihaknya memberi peluang kepada pelanggan untuk merasai makanan barat dan masakan tempatan pada kadar berpatutan iaitu antara RM4 hingga RM26 dan pada masa yang sama rasanya setanding dengan restoran makanan mewah.

Dalam pada itu katanya, Kafe Taman Ku yang dibuka sejak pertengahan Julai tahun lalu itu mempunyai empat orang pekerja dan pembukaannya rentetan kepada usaha untuk membantu anaknya iaitu Farris yang juga pengidap autisme (sindrom asperger) berdikari.

"Kafe ini antara lain dibuka untuk membantu Farris berdepan dengan masyarakat, alhamdulillah kini dia mampu berdikari dan tidak kekok. Saya juga memohon maaf kepada pelanggan sekiranya sebelum ini Farris dilihat sombong dan kurang mesra pelanggan kerana dia masih pemalu," katanya. - UTUSAN ONLINE

info

Nama: Kafe Taman Ku

Facebook rasmi: Kafe Taman Ku

Hidangan: Barat dan tempatan

Lokasi: Jalan Kesidang, Presint 18, Putrajaya