Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 8 pagi.

“Pengawal keselamatan yang bertugas telah menegur suspek yang berusia 23 tahun kerana melanggar kon keselamatan.

“Suspek kemudian berang dengan tindakan pengawal keselamatan itu dan mengugut mahu mencederakan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelasnya, suspek yang dipercayai mabuk kemudian meluru ke arah mangsa dan terus menamparnya namun keadaan berjaya dikawal dengan bantuan polis bantuan Lingkaran Trans Kota Sdn. Bhd. (Litrak) serta peronda lebuh raya.

Tambah Mohammad Azlin, suspek kemudian ditahan dan dibawa ke balai polis berhampiran untuk siasatan lanjut dan dijangka direman esok. - UTUSAN ONLINE