Ketua Pegawai Eksekutif MTEM, Ahmad Yazid Othman berkata, REHDA Johor dilihat hanya memikirkan kepentingan ahli-ahlinya sahaja di mana matlamat sebenar disebalik perkara itu adalah bertujuan untuk menghapuskan bayaran yang dikenakan oleh kerajaan negeri apabila pemaju memohon untuk menukar status tanah bumiputera.

Beliau berkata, apa yang pasti, kerajaan negeri Johor akan berdepan dengan kehilangan sumber pendapatan.

“Syarat-syarat ini dikenakan kepada hartanah jenis kediaman, komersial dan industri. Polisi ini diperkenalkan untuk membantu meningkatkan tahap hak milik bumiputera ke atas aset bernilah lebih RM1 juta.

“Namun, untuk unit-unit bumiputera yang tidak terjual, pemaju boleh merayu kepada kerajaan negeri untuk mendapatkan perlepasan membenarkan hartanah itu untuk dijual kepada kaum-kaum lain. Sebanyak 7.5 peratus daripada harga jualan perlu dibayar kepada kerajaan negeri sebagai yuran untuk setiap unit yang ditukar status,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Melalui polisi itu, pembeli bumiputera wajib diberikan diskaun sebanyak 15 peratus.

Kerajaan negeri Johor telah memperoleh kira-kira RM600 juta pendapatan daripada penguatkuasaan polisi terbabit dan ia telah digunakan untuk membina lebih 6,000 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) yang dijangka siap pada penghujung tahun hadapan. - UTUSAN ONLINE