Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, inisiatif itu bagi me­nimbulkan kesedaran penunggang khususnya di Parlimen itu untuk menunggang motosikal secara sah dengan memiliki lesen.

Menurutnya, semua peserta sepatutnya dikenakan caj RM100 untuk menyertai program berkenaan namun pihaknya mengambil inisiatif menggantikan semula bayaran berkenaan kepada mereka yang lulus ujian.

“Ramai dalam kalangan remaja tidak mempunyai lesen dan salah satunya kerana bayaran mahal.

“Kebanyakan peserta memerlukan lesen untuk mendapatkan pekerjaan seperti khidmat penghantaran makanan dan sebagai-nya.

“Jadi dengan program sebegini akan meningkatkan pendapatan seterusnya menjadikan mereka penunggang yang lebih bertanggungjawab,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran Program MyPrihatin JPJ dan Penutupan Program MyPrihatin JPJ WPKL Parlimen Titiwangsa, di sini.

Yang turut hadir Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Nadzri Siron dan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan.

Penganjuran pertama program berkenaan dijayakan menerusi strategi lautan biru kebangsaan (NBOS) bersama pelbagai agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan pihak swasta.

Johari yang juga Menteri Kewangan II berkata, masyarakat khususnya warga miskin bandar perlu mengambil peluang me­nyertai program berkenaan untuk memiliki lesen dengan caj yang minima.

“Program MyPrihatin ini akan diperluaskan ke parlimen-parlimen lain termasuk bandar-bandar besar seperti di Selangor, Pulau Pinang, Perak, Johor serta Sabah dan Sarawak,” jelasnya.