Menteri di Jabatan Perdana Menteri, DatuK Seri Abdul Rahman Dahlan menjelaskan kajian konsultan itu lebih kepada tekno-ekoomi yang merangkumi aspek kejuruteraan, teknikal serta pemodelan kewangan dan bukan hanya ekonomi sosial sebagaimana telah dilakukan oleh pelbagai universiti sebelum ini.

Katanya, prosedur itu amat penting untuk dilaksanakan sebelum pembinaan sesebuah jambatan.

“Seperti projek Sistem Transit Rapid (RTS) dan Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR), JLS merupakan satu lagi visi besar Perdana Menteri, DatuK Seri Najib Tun Razak untuk menyediakan kesalinghubungan tanpa batasan kepada rakyat Malaysia.

“Projek ini akan menjadi satu lagi `game-changer’ di bawah visi jangka panjang Perdana Menteri. Ini turut membuktikan visi beliau untuk Malaysia sedang bergerak di atas landasan yang tepat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Perdana Menteri hari ini melancarkan Pelan Tindakan Pembangunan Labuan 2030 yang antaranya meliputi pembinaan JLS.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman memberitahu, JLS bukan hanya untuk Labuan sahaja tetapi memberi kelebihan kepada kawasan selatan Sabah dan utara Sarawak yang bakal mendapat impak ekonomi melalui projek berkenaan.

“Bayangkan orang di Sipitang, Sabah dan Lawas, Sarawak tidak perlu lagi memandu berjam-jam ke Kota Kinabalu untuk ke lapangan terbang. Melalui JLS, mereka dengan mudahnya boleh terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu,” jelas beliau. - UTUSAN ONLINE