Adik Allahyarham, Rami Albatsh, 31, yang tiba di Malaysia dari Jerman hari ini memberitahu, dia akan kembali ke hospital itu esok (Isnin) untuk menguruskan proses membawa pulang jenazah abangnya ke tanah air mereka.

“Buat masa ini tiada kepastian bila jenazah akan dibawa pulang tetapi saya akan kembali ke hospital ini untuk menguruskan proses tersebut sehingga selesai,” katanya.

Beliau ditemui Utusan Malaysia di Unit Forensik Hospital Selayang sebaik sahaja tiba dari Jerman, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi semalam, Fadi, 35, ditemukan dengan 10 kesan tembakan oleh dua suspek yang menaiki motosikal berkuasa tinggi di hadapan Kondominium Idaman Puteri, Jalan Meranti di sini.

Mangsa merupakan pensyarah sebuah universiti swasta di sini maut selepas mengalami kecederaan di bahagian badan dan kepala ketika dalam perjalanan ke Surau Medan Idaman bagi menunaikan solat subuh. - UTUSAN ONLINE