Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, peruntukkan itu membabitkan tiga kawasan iaitu Pangsapuri Taman Medan Cahaya, Pangsapuri Perangsang Permai dan Flat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Taman Datuk Harun.

Katanya, sebanyak RM14 juta daripada peruntukan tersebut dibelanjakan untuk membaiki tangki air dan lif di Pangsapuri Taman Medan Cahaya.

“Sementara di Pangsapuri Perangsang Permai pula, kerajaan membelanjakan sebanyak RM500,000 dan RM280,000 bagi menaik taraf kemudahan surau dan padang futsal yang akan memberi manfaat kepada kira-kira 1,000 penduduk di situ,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengakhiri sesi lawatan beliau ke pangsapuri kos rendah di kawasan Taman Medan di Flat PKNS Taman Datuk Harun, di sini semalam.

Menurutnya lagi, kerajaan juga memperuntukkan sebanyak RM7 juta untuk membina semula perparitan, tangki air, pagar dan ge­langgang sukan di Flat PKNS Taman Datuk Harun.

“RM4.5 juta daripada jumlah itu untuk menggantikan bumbung kediaman yang rosak. Bajet sudah ada dan kita jangkakan projek tersebut akan dilaksanakan secepat mungkin,” katanya.

Jelasnya, kesemua perbelanjaan itu membuktikan keprihatian kerajaan dalam mengambil berat segala permasalahan dihadapi rakyat walaupun berkemungkinan dihalang kerajaan negeri Selangor.

Dalam pada itu, seorang penduduk Flat PKNS Taman Datuk Harun, Nursyamsinar Jaafar, 43, berkata, dia melahirkan rasa syukur atas bantuan itu yang diharap dapat menangani permasalahan berlaku sejak sekian lama.

“Sejak menetap di sini seolah tiada sesiapapun ambil tahu. Saya harap dengan pembinaan semula fasiliti ini dapat mengurangkan pelbagai masalah antaranya pembiakan nyamuk akibat air bertakung,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Ramlah Hasyim, 59, berkata, hanya ucapan terima kasih dan terharu atas bantuan tersebut dalam membaiki bumbung kediaman penduduk yang bocor dan sering ditakungi air hujan.