Itu antara luahan Atiah Yusof, 63, seorang petugas pembersihan di sebuah perumahan bertingkat kendalian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini ketika berkongsi mengenai sikap segelintir penghuni yang mengabaikan aspek kebersihan.

Menurut Atiah, setiap hari ada sahaja objek atau bungkusan sampah dibuang dari tingkat atas dan tugas mereka tidak pernah selesai menjelang petang memandangkan sampah sentiasa ada.

“Bayangkan hanya beberapa minit setelah kawasan dibersihkan, apabila toleh belakang, ada sampah lain pula,” katanya.

Sementara itu tinjauan Skuad Terjah ke beberapa Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) sekitar ibu negara mendapati persekitaran perumahan itu dipenuhi sampah-sarap berteraburan.

Berdasarkan pemerhatian, be­beberapa petugas bagaikan tidak menang tangan melakukan kerja-kerja pembersihan bermula sebelah pagi hingga menjelang tengahari.

Sampah-sarap yang berte­raburan terpaksa dibersihkan secara perlahan-lahan me­man­dang­kan bukan sahaja helai­an kertas, tetapi juga lampin bayi dan kotak kosong memenuhi koridor perumahan itu.

Perasaan sama turut dikongsi rakan setugasnya, Fendi Ahmad, 27, menurutnya, jumlah sampah di perumahan bertingkat itu bertambah terutama pada setiap pagi Isnin.

“Sikap malas segelintir peng­huni paling ketara pada hari ber­kenaan selepas banyak akti­viti dilakukan pada hujung minggu. Sampah bukan sahaja berte­raburan di kaki lima, tetapi longgokan juga boleh ditemui di pintu rumah masing-masing, tepi lif, koridor dan tangga ,” katanya.

Katanya, walaupun ada yang memandang sinis dan melayan seperti hamba, mereka tidak pernah ambil kisah kerana percaya tiada pekerjaan yang hina asalkan ia halal.

Bagi Atiah dan Fendi, pekerjaaan mereka lebih mulia berbanding mereka yang bersikap pengotor, pemalas dan memen­tingkan diri.