Profesor Pengajian Dunia Melayu, Institut Antarabangsa Tamadun Islam dan Dunia Melayu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Datuk Dr. Awang Sariyan berkata, tiada sebab untuk kerajaan mengiktiraf UEC kerana sijil tersebut hanya dikeluarkan daripada sekolah persendirian Cina, malah pengiktirafan itu boleh menimbulkan ‘kegelisahan’ dalam perpaduan.

Jelas beliau, penolakan terhadap UEC bukanlah dibuat atas dasar perkauman, namun disebabkan bertentangan dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

“Kita sudah mempunyai satu sistem pendidikan kebangsaan yang telah diiktiraf, itu yang harus diguna pakai sebagai sijil rasmi dalam sektor pendidikan negara. Jadi, mengapa pula kita mahu mengiktiraf sijil persendiriran untuk dijadikan sijil utama?

“Sekolah persendirian boleh mengeluarkan banyak sijil dan diakui di mana-mana negara sekali pun, namun perkara itu tidak diterima di Malaysia kerana kita telah ada Dasar Pendidikan Kebangsaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching sebelum ini berkata, isu berkaitan pengiktirafan UEC perlu diselesaikan secepat mungkin supaya pemegang sijil berkenaan dibenarkan memasuki perkhidmatan awam.

Kerajaan negeri Melaka juga telah mengumumkan pengiktirafan UEC minggu lalu sebagai syarat kelayakan membolehkan memasuki perkhidmatan awam negeri itu.

Mengulas lanjut, Awang yang juga bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berkata, pengiktirafan terhadap UEC hanya akan membuatkan dasar pendidikan sedia ada sebagai sebuah sistem yang tidak jelas dan tidak melambangkan keseluruhan sistem pendidikan negara.

“Kita perlu berpegang kepada asas kebangsaan termasuk status bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, sekiranya bahasa lain mahu diajarkan sebagai satu daripada subjek, itu boleh diterima tetapi jika menyamakannya dengan sijil utama seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), perkara tersebut jelas bertentangan,” ujar beliau. - UTUSAN ONLINE