Restoran Hornbill yang terletak di Taman Burung Kuala Lumpur di sini mungkin pilihan tepat untuk anda cuba.

Selain menikmati keenakan pelbagai jenis sajian tempatan dan barat, kunjungan pelawat ke restoran ini bagaikan percutian singkat di tengah hutan.

Sambil mendengar kicauan burung yang bebas berterbangan, pelawat berpeluang bertemu dengan burung enggang yang menjadi ikon restoran berkenaan.

Spesies burung yang merupakan antara paling terancam di dunia itu adalah penghuni tetap restoran berkenaan yang sering mendampingi pelawat dan mesra untuk diberi makan.

Pengurus restoran berkenaan, Eric Lee berkata, tarikan yang terdapat di restoran itu menjadikannya lokasi utama persinggahan pelawat-pelawat Taman Burung Kuala Lumpur dan juga pelanggan dari luar.

Katanya, restoran yang dibuka sejak 1991 itu menawarkan sebanyak 60 hidangan popular Malaysia dan Barat antaranya Nasi Goreng Malaysia, tom yam, mee goreng mamak, Chicken Chop, Chicken Cordon Bleu, Spaghetti Carbonara dan kari ayam lazat yang dihidangkan bersama nasi.

“Kami mengambil inisiatif mempromosikan hidangan sajian tempatan kepada para pelancong. Rata-rata mereka memuji keenakan Nasi Goreng Malaysia yang dihidangkan bersama kepak ayam, telur dan sate,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, selepas menikmati sajian, pelawat boleh memilih pelbagai jenis pencuci mulut, antaranya pisang goreng rangup dicicah bersama madu.

“Anda akan berpuas hati menikmati hidangan sambil menikmati keasyikan suasana hutan di sini,” katanya.

Eric berkata, harga untuk hidangan di restoran itu dihidangkan pada harga berpatutan dan beroperasi setiap hari termasuk cuti umum, bermula pukul 9 pagi hingga 8 malam.

Bagi yang menggunakan pengangkutan awam, anda boleh menaiki bas KL Hop-On-Hop-Off atau turun di Stesen KTM Kuala Lumpur atau menggunakan perkhidmatan teksi untuk sampai ke sini.

Keselesaan pelawat juga dijamin dengan ruang parkir yang luas dan selesa. - UTUSAN ONLINE