Kesturi dalam satu kenyataan akhbar memaklumkan, penutupan itu memberi laluan kepada kerja-kerja pemasangan rasuk (beam launching) bagi projek Lebuhraya Duta-Ulu Kelang Fasa 2 (Duke 2).

“Penutupan ini adalah bersifat sementara bermula pukul 10 malam hingga 5 pagi memberi kelancaran kepada pelaksanaan kerja-kerja di tapak bina.

“Bagaimanapun kita turut menyediakan laluan alternatif iaitu bagi pengguna jalan raya dari Jalan Kuala Selangor ke Kepong dinasihatkan untuk menggunakan susur keluar ke Taman Bukit Maluri manakala pengguna dari Jalan Lang Emas boleh menggunakan Jalan 1/62b untuk menghala ke LDP.

“Pengguna jalan raya dari Kepong menghala ke Sungai Buloh dan Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) perlu menggunakan susur keluar ke LDP manakala pengguna dari Kepong menghala ke LDP digalakkan untuk menggunakan laluan alternatif melalui Taman Bukit Maluri dan seterusnya ke Persiaran Dato’ Shamsuddin Naim,” jelas kenyataan itu di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, pihaknya juga akan menempatkan bantuan polis trafik dan kakitangan Duke sepanjang penutupan itu dilakukan bagi membantu melancarkan aliran trafik.

“Pihak kami juga ingin menasihati kepada pengguna jalan raya agar memandu dengan berhati-hati di sepanjang kawasan pembinaan dan mematuhi arahan pegawai trafik serta papan tanda lalu lintas yang diletakkan di sekitar tapak pembinaan.

“Kesturi ingin memohon maaf di atas segala kesulitan yang dihadapi pengguna jalan raya sepanjang tempoh pembinaan berjalan,” kata kenyataan itu. - UTUSAN ONLINE