Perumpamaan ini sesuai se­kali menggambarkan penderitaan yang ditanggung seorang isteri dan ibu kepada tiga anak berusia 16, 22 dan 24 tahun, Roz­lina Shahbudin, 48.

Sejak suaminya Zaini Ariffin, 55, disahkan mengalami ganggu­an mental beberapa tahun lalu, Rozlinalah yang terpaksa mengambil alih tugas sebagai ketua keluarga.

Bagaimanapun, hasratnya un­tuk membantu keluarga tidak kesampaian selepas dia sendiri disahkan mengalami masalah kesihatan.

“Saya pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah sebelum ini, tetapi terpaksa berhenti pada tahun lalu selepas mengalami pendarahan berpanjangan disebabkan masalah fibriod.

“Untuk pulih, saya perlu menjalani pembedahan de­ngan segera. Suami pula memang tidak mampu bekerja dan tiada majikan yang mahu menerimanya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di kediaman keluarga ini di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Air Panas, Setapak di sini.

Menceritakan lebih lanjut Roz­lina berkata, selain me­nga­lami gangguan mental, suaminya turut menderita penyakit saraf.

“Setiap malam suami akan menangis akibat tidak tahan dengan ‘gangguan’ tersebut. Se­belum ini saya ada membawa suami untuk dirawat secara tradi­sional namun keadaannya masih berterusan sehingga hari ini,” katanya.

Malang bertimpa bagi keluarga ini apabila anak kedua mereka, Nazmil Hazwan Zaini, 22, yang selama ini diharap membantu keluarga terlibat kemalangan jalan raya sehingga menyebabkan tangan kirinya patah.

“Kos pembedahannya dianggarkan kira-kira RM2,500. Bagaimana pembedahan mahu diteruskan kerana kami tidak mempunyai wang sebanyak itu.

“Saya berharap Baitulmal da­pat mempertimbangkan permohonan sebelum ini untuk membiayai pembedahan itu,” ka­tanya yang turut me­nerima bantuan bulanan daripada pihak berkenaan.

Rozlina berkata, selain wang tunai RM400, Baitulmal turut melunaskan bayaran sewa rumah dan menyumbang barangan keperluan asas.

“Alhamdulillah, dengan wang itulah digunakan untuk membeli barangan keperluan harian lain serta membayar semua bil utiliti” katanya.

Orang ramai yang ingin­ membantu keluarga ini bo­leh berbuat demikian de­ngan menyalurkan ke akaun Maybank Rozlina Shahbudin 114085837351.