Situasi ini terus berlaku bagaikan tiada kesudahan kerana sikap manusia itu sendiri yang tidak tahu menjaga kebersihan dan menguruskan alam sekitar, sekali gus menjadi penyebab kepada masalah kesihatan.

Tinjauan Utusan Malaysia di kawasan berkenaan minggu lalu mendapati, sampah sarap dilihat bertaburan di kawasan persekitaran pasar dan lebih menjelikkan apabila ia dilonggokkan pada sisi tiang besar jambatan lebuh raya.

Di mana sahaja dan bila-bila masa, sampah sekecil puntung rokok dijentik, bungkusan plastik dilepaskan dari genggaman malah sisa lebih besar daripada aktiviti perniagaan dibuang tanpa rasa takut terhadap tindakan undang-undang.

Selain sampah, kekotoran turut dilihat pada jalan raya di mana air bertakung dan berlopak akibat jalan raya yang rosak yang tidak dibaik pulih pihak berwajib sehingga turut meresahkan pengguna . - UTUSAN ONLINE