Rata-rata pengunjung yang ditemui sebak dan teruja apabila persembahan yang ditampilkan menceritakan tentang peristiwa yang berlaku semasa sambutan kemerdekaan pada 1957.

Antara persembahan yang mendapat perhatian pengunjung adalah peristiwa bendera Union Jack diturunkan pada tengah malam 30 Ogos 1957.

Seorang kakitangan awam, Mohd. Hashim Abdullah, 50, berkata, sambutan hari kebangsaan pada tahun ini membuka mata rakyat terutamanya golongan muda betapa peritnya pemimpin terdahulu untuk menuntut kemerdekaan.

"Persembahan yang ditampilkan menceritakan tentang sejarah dahulu yang mungkin ramai anak muda tidak tahu.

"Anak-anak muda perlu diberi pendedahan seperti ini bagi mengenang jasa dan pengorbanan pemimpin terdahulu yang bersusah payah memerdekaan negara kita," katanya.

Sementara itu, Rozai Pasiman, 52, berkata, sambutan kebangsaan tahun ini sangat berlainan berbanding sambutan hari kebangsaan sebelum ini.

"Saya gembira apabila sambutan hari kebangsaan ke-60 menampilkan era-era pembangunan sebelum merdeka hinggalah kini," katanya yang datang bersama isteri dan seorang anak.

Seorang lagi pengunjung, Muhammad Hafif Farhan, 18, berkata, sebagai golongan muda dia sangat bersyukur dan berbangga menjadi anak Malaysia.

"Kalau dahulu nak belajar pun susah banyak kekangan tapi sekarang apa sahaja kita boleh buat.

"Pasukan keselamatan negara pun semakin hebat, jadi tiada apa yang perlu ditakutkan. Terima kasih kepada pemimpin terdahulu dan kini," ujarnya. - UTUSAN ONLINE