Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Azmar Talib berkata, wadah sedemikian bagi menzahirkan visi golongan belia dalam mencorak persekitaran pusat kewangan baharu negara menerusi seni visual kreatif selari dengan misi pembangunan hijau dapat dilaksanakan.

Katanya, pertandingan dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAS WPKL) itu terbuka kepada semua pelajar yang merupakan warganegara dan berumur 16 tahun ke atas bagi menyertainya sebelum berakhir 30 November 2017 depan.

“Kerjasama bersama JAS WPKL ini bertujuan memperkasakan golongan belia negara mengenai aspek pembangunan mampan melibatkan komuniti melalui platform kreatif ini agar ekosistem TRX sebagai pusat kewangan antarabangsa serantau dapat direalisasi.

“Peluang ini juga dapat mendekati golongan muda negara di samping mengetahui lebih lanjut aspirasi serta melihat manifestasi idealisma dan tenaga kreatif mereka diterjemahkan dalam pembangunan ini,” katanya melalui satu kenyataan di sini hari ini.

Pertandingan Seni TRX menawarkan wang tunai keseluruhan berjumlah RM10,500 untuk direbut dengan pemenang utamanya bakal membawa pulang RM5,000. Penyertaan serta syarat-syarat pertandingan boleh didapati dengan melayari pautan trx.my/city untuk maklumat lanjut. - UTUSAN ONLINE