Cruise Tasik Putrajaya untuk tahun ini sekali lagi menyediakan pakej Ramadan Fi Sofina kepada mereka yang mahu merasai pengalaman berbuka puasa dalam suasana berbeza dengan harga yang berpatutan.

Beraneka jenis makanan terhidang secara bufet, antaranya nasi goreng, kuey teow goreng, ayam masak merah, ayam masak kurma, ikan pari asam pedas, daging masak rendang, udang masak lemak, sup dan pelbagai jenis kuih serta pencuci mulut dan pelbagai jenis minuman.

Ketua Pegawai Eksekutif Marina Putrajaya Sdn. Bhd, Datuk Zaharah Salamat berkata, pilihan menu Iftar Fi Sofina tahun ini berkonsepkan ‘Nostalgia Kampung' dan ‘Fusion' yang pastinya membuka selera selepas seharian berpuasa.

Menurutnya, orang ramai boleh membuat tempahan dengan harga RM127 untuk dewasa serta RM77 untuk kanak-kanak dan warga emas.

Menurut Zaharah, berbuka puasa sambil menyelusuri tasik dan menghirup udara segar pada waktu malam selama 1 jam 30 minit sudah pasti memberi satu pengalaman yang berbaloi bagi mereka yang cintakan keindahan dan kedamaian.

"Mengambil berkat sepanjang Ramadan ini, Cruise Tasik Putrajaya akan menyumbangkan RM1 daripada harga pakej yang ditawarkan kepada rumah anak yatim dan asnaf, As-Solihin, Banting, Selangor.

"Pengunjung yang memilih Iftar Fi Sofina tentunya akan berpuas hati. Justeru, lebih bermakna jika pengalaman indah ini turut dikongsikan bersama sahabat dan keluarga," katanya pada majlis memperkenalkan sajian Iftar Fi Sofina di Cruise Tasik Putrajaya, baru-baru ini.

Sementara itu, menurut Zaharah, Cruise Tasik Putrajaya juga menawarkan pakej seminar dan mesyuarat sepanjang bulan Ramadan ini pada harga yang amat istimewa sama ada di Bora Ombak Marina Putrajaya atau belayar bersama Cruise Tasik Putrajaya.

Katanya, harga pakej pertama iaitu seminar dan mesyuarat di Borak Ombak Marina Putrajaya adalah RM70 dan RM150, manakala pakej kedua, seminar dan mesyuarat di Cruise Tasik Putrajaya berharga RM212 seorang.

"Kami menawarkan potongan harga sebanyak 50 peratus untuk pakej pertama dan 30 peratus untuk pakej kedua. Harga asal bagi pakej untuk seminar dan mesyuarat sahaja adalah RM140.

"Di samping memberikan pengalaman yang unik, kami juga berharap pakej ini dapat membantu meningkatkan lagi jualan sepanjang Ramadan tahun ini," katanya.

Beliau menambah, Cruise Tasik Putrajaya dan Marina Putrajaya turut menyediakan ruangan tempat meletak kenderaan yang mencukupi dan ruangan solat yang selesa untuk para pengunjung.

Untuk maklumat lanjut, mereka yang ingin membuat tempahan boleh menghubungi Jabatan Jualan Marina Putrajaya di talian 03-8888 3359 atau e-mel kepada [email protected] - UTUSAN ONLINE