Seorang ibu tunggal, Fazilah Mohd. Yusof, 47, memberitahu, wa­laupun tanpa suami di sisi, dia tetap tabah menguruskan keluarga termasuk menjaga anaknya yang menderita penyakit paru-paru dan kencing manis sejak berusia empat bulan.

Anak bongsunya itu, Siti Nurmaisarah Yusof, 13, tidak mampu menguruskan diri dan keperluannya sendiri tanpa bantuan daripada orang lain.

“Setiap bulan saya terpaksa me­mohon cuti untuk memba­wa­nya ke hospital bagi mendapatkan rawatan sekali gus kehi­langan punca pendapatan pada hari berkenaan.

“Saya bekerja sebagai promo­ter yang menerima gaji hari­an. Walaupun dibayar sebanyak RM1,000 sebulan namun, ia masih tidak cukup untuk menampung kehidupan kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini.

Ibu kepada tiga orang anak itu memberitahu, mereka sekeluar­ga memerlukan lebih RM1,500 sebulan termasuk perbelanjaan harian, kos ubat-ubatan serta membeli barangan persekolahan anak-anak.

“Demi mencari sesuap nasi, saya terpaksa tinggalkan Siti Nurmaisarah di rumah sendirian. Keri­sauan terhadap kese­lamatannya terpaksa dipendam sahaja.

“Kami pernah ikat perut selama dua bulan kerana saya terlantar sakit dan tidak mampu untuk bekerja,” ujarnya.

Mereka yang prihatin dan i­ngin membantu keluarga Fazilah boleh menghubunginya di talian 017-2784507 atau melalui akaun Maybank 164221542174.