Timbalan Ketua Pengarah Operasi Balai Seni Negara, Amerrudin Ahmad berkata, pameran pertama kali yang dibawa ke Creative Space, Balai Seni Negara itu bermula dari 27 Ogos lalu hingga 16 September ini.

“Cheah Sek Meng mendedikasikan teknik lukisan arang yang merupakan teknik tertua dalam seni visual.

“Humanisme Dalam Seni merupakan gambaran 38 karya mengenai kemanusiaan, kehidupan harian dan budaya Malaysia melalui lakaran potret yang realistik dan mengagumkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian yang disempurnakan oleh Presiden Persatuan Tujuh Keturunan Utama Hakka Malaysia, Datuk Ir. Steve Chong Yoon On.

Menurut Ameruddin, pengalaman yang dilalui oleh Sek Meng dalam penghasilan karyanya menampilkan keunikan nostalgia yang tidak mungkin terulang oleh masa.

“Cheah Sek Mung memperlihatkan keunikan kehidupan harian, tradisi dan warisan rakyat Malaysia di kampung, pekan dan bandar dengan menonjolkan identiti bangsa subjek yang dilukis,” katanya.

Bercerita mengenai pelukis itu, beliau berkata, Cheah Sek Meng adalah seorang pelukis berkemahiran dan berbakat besar yang mengabdikan diriya sebagai pelukis sepenuh masa selama 49 tahun.

Beliau berkata, Pameran Humanisme Dalam Seni dibuka setiap hari bermula dari pukul 10 pagi hingga pukul 6 petang dan masuk adalah percuma.

“Orang ramai juga berpeluang membeli setiap potret tersebut yang dijual pada harga bermula RM2,000 hingga RM26,000,” katanya. - UTUSAN ONLINE