Plaza yang dahulunya ter­kenal dengan penganjuran karnival, bazar perniagaan dan pameran sehingga berjaya menarik keha­diran ratusan pe­ngunjung ini seolah-olah ‘hidup segan, mati tak mahu’ apabila ruang niaga di situ juga tiada sambutan.

Walaupun banyak acara berskala besar sering dianjurkan di Dataran Merdeka, tidak ramai warga kota, termasuk pelancong asing yang tahu kewujudan aktiviti perniagaan di situ.

Tinjauan Skuad Terjah ke lokasi tersebut hari ini mendapati, plaza berkenaan lengang dan hanya beberapa premis menjual cenderamata serta makanan dan minuman beroperasi.

Difahamkan, peniaga yang masih bertahan di situ hanya mengharapkan ejen pelanco­ngan membawa pelancong untuk membeli cenderamata dan menikmati makanan di me­dan selera.

Skuad Terjah difahamkan, si­tuasi ini bukan setahun dua berlaku, sebaliknya telah berlarutan sejak lima tahun lalu.

Walaupun Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berusaha mengadakan pelbagai promosi termasuk melantik syarikat lain untuk menguruskan plaza ber­kenaan, termasuk menukar plaza tersebut kepada beberapa nama seperti Dataran Undrgrnd ia tetap gagal menarik perhatian pengunjung.

Dilihat kepada fasiliti yang disediakan, plaza berkenaaan tiada sebarang kekurangan dan setanding de­ngan ruang niaga lain.

Ini termasuk kemudahan se-perti tempat letak kereta, tandas awam, pentas acara, surau dan medan selera.

Sehubungan itu, DBKL diminta mencari mekanisme terbaik bagi memastikan plaza itu terus hidup dan tidak menjadi ‘projek gajah putih’ yang gagal memberi manfaat kepada masyarakat.