Dakwa penduduk, masalah itu disebabkan paip pembetu­ngan yang sebelum ini tersumbat telah pecah mengakibatkan air najis mengalir keluar ke pekarangan letak kereta kawasan perumahan itu.

Lebih memburukkan keada­an apabila pihak bertanggungjawab yang diharapkan menyelesaikan masalah itu seperti Badan Pengurusan Bersama (JMB) perumahan itu dan Indah Water Konsortium Sdn., Bhd. (IWK) saling me­nuding jari antara satu sama lain tanpa mahu mencari penyelesaian.

Wakil penduduk, A. Ponnampalam berkata, kegagalan pihak tersebut melakukan kerja-kerja baik pulih menyebabkan kehidupan mereka terganggu kerana terpaksa menghidu bau busuk setiap hari

Menurutnya, penduduk ada menghubungi IWK tetapi jawapan diterima amat mengecewakan dengan alasan bukan di bawah tanggungjawab mereka.

“Penduduk amat terkilan kerana sebelum ini kami perlu membayar yuran pembetu­ngan sebanyak RM24 untuk tiga bulan.

“Masalah ini sudah berpanjangan sejak tiga tahun lalu dan ia tidak pernah selesai sehingga hari ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Tambah Ponnampalam, penduduk turut merayu kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur agar campur tangan dalam isu melibatkan JMB perumahan itu yang dilihat tidak membela nasib mereka.

“Banyak masalah penduduk yang tidak dapat diselesaikan oleh JMB di perumahan sehingga hari ini termasuk isu pembetungan ini.” katanya.