Pengarah Urusannya, Dr. Kenneth Pereira berkata, pihaknya ingin meninjau peluang sebelum memutuskan mengenai konsep pembangunan lapangan di Australia.

Katanya, bagi pasaran Australia, Hibiscus mempunyai kepentingan ekuiti yang tinggi dalam kedua-dua lesennya iaitu ekuiti syarikat penerokaan minyak dan gas bagi VIC/P 57 sebanyak 78 peratus manakala VIC/L 31 sebanyak 100 peratus.

“Oleh itu, jika mana-mana pihak berminat untuk bekerjasama dengan kami untuk membangunkan aset kami di Australia kami akan mempertimbangkannya,” katanya kepada pemberita di luar Invest Malaysia 2019 di sini hari ini.

VIC/ L 31 merupakan lesen pembangunan bagi lapangan West Seahorse, Australia.

Hibiscus dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia sebelum ini berkata, kumpulan itu mempunyai akses yang terhad kepada modal bermakna aktiviti berkaitan pelaburan diutamakan dengan projek-projek yang memberikan manfaat ekonomi yang besar dilaksanakan berbanding projek yang menjanjikan pulangan yang rendah.

Mengulas mengenai harga minyak, Pereira berkata, syarikat selesa dengan harga semasa antara AS$65 (RM264.64) dan AS$70 (RM285) setong.

“Mengenai masa depan, kami menjangkanya stabil pada paras semasa,” katanya.

Secara keseluruhannya, syarikat telah menetapkan sasaran untuk melaksanakan projek peningkatan pengeluaran yang berpotensi meningkatkan kadar pengeluaran minyak bersih kepada 12,000 tong sehari menjelang 2021 berbanding 8,500 tong sehari.

Ditanya jika Hibiscus akan mencapai sasarannya, Pereira berkata, walaupun syarikat dapat mencapai sasaran dengan kapasiti semasa secara organik beliau juga terbuka kepada aktiviti pengambilalihan sebagai alternatif. - BERNAMA