Demikian ditegaskan Ketua Pe­gawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Ir. Ahmad Asri Abdul Hamid berhubung tindakan kontraktor ataupun pemaju yang gagal mempamerkan ciri-ciri keselamatan sama ada terhadap pekerja mahupun orang ramai.

Menurutnya, ingatan itu bagi tujuan memastikan pemaju mematuhi syarat-syarat berkaitan keselamatan dan kesihatan di tapak projek.

“Individu yang mengurus atau mengawal selia tapak bina juga wajib memastikan tapak pembinaan dan pintu masuk ke tapak pembinaan adalah selamat dan tidak membahayakan nyawa dan kesihatan awam.

“CIDB diberi kuasa untuk mengarahkan kerja-kerja pembinaan dihentikan dan menjalankan siasatan bagi memastikan aspek ke­­s­e­lamatan dan kesihatan di tapak pembinaan dipatuhi pemaju.

“CIDB juga boleh mengarahkan apa-apa juga struktur binaan yang didapati berbahaya atau tidak sempurna dirobohkan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.

Beliau diminta mengulas pendedahan Skuad Terjah pada Jumaat lalu berhubung masih ada pemaju yang mengabaikan aspek keselamatan di tapak pembinaan.

Ini termasuk membiarkan pe­kerja tinggal dalam struktur bangunan yang belum siap.

Dalam pada itu, Ahmad Asri berkata, semua pemaju dan kontraktor tertakluk kepada beberapa akta yang perlu dipatuhi.

Ini termasuk Akta CIDB (Akta 520), Akta Ke­selamatan dan Kesihatan Pekerjaa 1994, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 dan Undang-undang Kecil Bangunan Seragam (UKBS), 1984.

“Mereka yang disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM500,000.

“Berkaitan ketidakpatuhan yang berterusan pula akan dikenakan denda tambahan tidak melebihi RM10,000 bagi setiap hari atau sebahagiannya,” katanya.

Tambah beliau, mana-mana kontraktor yang melanggar peraturan sehingga menyebabkan kematian juga boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjara selama tempoh yang tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, jelas beliau, bagi meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan, Sistem Penilaian Keselamatan dan Kesihatan dalam Industri Pembinaan (SHASSIC) turut diperkenalkan.

Katanya, SHASSIC adalah kaedah penilaian tahap dan prestasi keselamatan dan kesihatan kontraktor di tapak bina.

“Selain pemeriksaan dokumen, dua kompenan lain meliputi pemeriksaan tapak bina dan temuramah pekerja.

“Bagaimanapun kaedah ini dilakukan secara sukarela dan bukan mandatori,” ujarnya.