Itu antara pengalaman yang dikongsi Windra Zain, 45, sepanjang tempoh lebih 10 tahun menjadi tukang kasut di Jalan Pantai Murni 6, Bukit Kerinchi di sini.

Menganggap kerja-kerja mem­baiki kasut sebagai pekerjaan mulia, Windra yang berasal dari Minang, Indonesia itu berkata, semua itu tidak pernah mematahkan semangatnya dan hanya dianggap sebagai ujian kecil.

Akuinya, hari yang paling mencabar apabila dia terpaksa berdepan dengan keadaan cuaca hujan dan panas terik demi memastikan setiap tempahan pelanggan disiapkan tepat pada waktunya.

“Sebagai manusia biasa, pe-rasaan malu tidak lari daripada diri saya. Namun saya terpaksa sembunyikannya demi mencari sesuap nasi bagi menampung kehidupan keluarga.

“Saya cuba memotivasikan diri, bahawa pekerjaan sebagai tukang kasut ini cukup bermakna dan banyak jasanya kepada masyarakat.

“Walaupun tempatnya berada di kaki dan dipijak oleh kita setiap hari, peranannya cukup besar,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Bercerita lanjut, Windra berkata, proses membaiki kasut bukanlah sesuatu yang mudah kerana ia memerlukan kemahiran, ketekunan dan ketelitian yang tinggi.

“Saya mementingkan kua-liti baik semasa kerja-kerja menampal mahupun menjahit. Keutamaan saya adalah memenuhi kepuasan pelanggan dan apabila berpuas hati sudah pasti mereka akan kembali semula,” katanya yang mengakui pendapatan bulanannya tidak menentu bergantung kepada jumlah kasut diterima daripada pelanggan.

“Kebiasaannya saya menerima antara lima hingga 10 pasang sehari tetapi kadang-kadang tidak ada sepasang kasut pun,” katanya yang menganggarkan memperoleh pendapatan sekitar RM1,000 sebulan.

Semangat sama turut dikongsi, Johari Asli, 40, meneruskan pekerjaan sebagai tukang kasut di Jalan Sri Permaisuri, Bandar Sri Permaisuri, Cheras di sini sejak 12 tahun lalu.

Dia yang dibantu sepupu, Andi Mat, 51, dan anak saudaranya, Putra Bujang, 15, ternya­ta memanfaatkan kemahiranmembaiki kasut untuk menyara keluarga.

Johari yang berasal dari Sarawak itu berkata, bukan ha­nya kualiti tampalan dan jahitan perlu dijaga, tetapi juga hubungan baik serta ramah mesra dengan pelanggan.

“Kebanyakan pelanggan saya tinggal di kawasan sekitar Cheras dan paling jauh dari Shah Alam, Selangor,” katanya yang menetap di Ampang, Se-langor itu.

Bagi Putra pula, tanpa kesabaran, ketelitian dan kemahiran seseorang itu tidak mampu bertahan dalam pekerjaan itu.

“Tidak ramai yang mahu menceburi pekerjaan ini ter­utama golongan muda seperti saya.

“Pekerjaan ini tidak menjanjikan pendapatan lumayan, sebaliknya lebih kepada kepuasan diri kerana dapat membaiki kasut pelanggan yang rosak,” ujarnya.