Remuk hati seorang anak apabila tuntutan kerja membuatkan dia tidak dapat menatap wajah ibunya buat kali terakhir.

Seorang guru, Afif Zulfathi Jaafar, 28, yang kini bertugas di kawasan pedalaman di Nanga Telawan, Belaga, Sarawak terpaksa menempuh perjalanan kira-kira sehari untuk sampai ke kampung halamannya di Kodiang, Kedah. 

Sedihnya, jenazah ibunya, Zainab Hashim  telah selamat dikebumikan petang semalam. 

Luahan hati Afif tular dalam media sosial malam tadi dan yang paling menarik perhatian adalah pengakuan bahawa sejak 2016 lagi dia telah meminta untuk ditukarkan ke sekolah yang berhampiran dengan kampung halamannya tetapi ditolak.

“Dah lama mak aku sakit. Bermula 2016 aku bersungguh-sungguh mohon pindah nak duduk dekat mak dan berbakti pada mak. Rayuan demi rayuan, penuh dilampirkan surat sakit mak tapi mungkin dijadikan alas kaki pihak Menteri (Pendidikan), Kementerian Pendidikan, Jabatan Pendididkan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD),” luahnya di Facebook, semalam.

Menurut Afif lagi, berita pemergian ibunya juga terpaksa disampaikan rakan guru dari sekolah lain yang datang menggunakan perahu kerana di sekolahnya langsung tiada talian telefon dan bekalan elektrik.

Utusan Malaysia berusaha mendapatkan abang ipar Afif, Dr. Saadan Man yang mengesahkan perkara tersebut. Menurut Saadan, Afif sudah tiga tahun ditempatkan di Nanga Telawan, sebuah kawasan pedalaman kategori P3.

Lebih memilukan, Afif baru sahaja pulang ke Nanga Telawan pada 1 Januari lalu untuk memulakan sesi persekolahan tahun ini. - UTUSAN ONLINE