Sebaliknya, berkata kepada Utusan Online, laporan tersebut adalah sebagai langkah berjaga-jaga demi memastikan keselamatan dirinya setelah mendapat satu kiriman klip video yang berbaur ugutan dan ancaman.

“Saya terima klip berkenaan daripada seorang peminat yang dipercayai dimuat naik oleh Ifa atau seorang lelaki yang tidak dikenali bernama Bob.

“Di dalam klip itu, lelaki tersebut telah mengeluarkan kata-kata ugutan, manakala Ifa pula kedengaran seperti menghasutnya,” jelas Roslan.

Disebabkan itu, Roslan akui dia berasakan dirinya terancam lantas membuat keputusan untuk membawa hal tersebut ke pengetahuan pihak polis.

“Apabila tiba di balai polis, saya tunjukkan video itu kepada polis yang bertugas dan dinasihatkan untuk membuat laporan bagi menjamin keselamatan. Itu sahaja.

“Jadi, tidak timbul isu saya menuduhnya sebagai penjenayah yang mahu mengupah pembunuh upahan untuk menembak saya,” tambahnya.

Sementara itu, Roslan menambah, sejak persengketaan mereka bermula pada 1 Disember lalu, dia sudah berulang kali memohon maaf kepada Ifa atas keterlanjuran katanya.

Pun begitu, permohonan maaf itu menurut Roslan seperti tidak mendatangkan sebarang kesan kerana terus dimalukan di media sosial dan media massa oleh Ifa dengan kata-kata kutukan.

Justeru, Roslan enggan memanjangkan lagi kes berhubung perselisihannya dengan Ifa dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk melakukan siasatan. - UTUSAN ONLINE