Demikian di­te­gaskan Ahli Parli­men Titiwangsa, Da­tuk Johari Abdul Ghani ketika merujuk kepada cadangan pembangunan semula perumahan itu.

Menurutnya, ini ba­gi memastikan nasib kira-kira 1,500 peng­huni perumahan kendali­an Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu terbela.

“Penduduk telah menetap dan menyewa di perumahan ini lebih 40 tahun dan berpendapatan rendah.

“Sekiranya mereka diminta berpindah sementara kerja-kerja pembangunan dilaksanakan, sudah pasti akan menyusahkan .

“Kita akan memastikan mekanisme pembangunan semula yang akan dilaksanakan kelak tidak membebankan penduduk khusus penghuni rumah tersebut,’’ katanya selepas merasmikan program Gotong-Royong dan Sepakat Komuniti 1Malaysia PA Seri Perlis 2 di sini.

Johari memberitahu, selepas saranan kerajaan untuk melihat kembali pembangunan semula di beberapa kawasan di Keramat, ia menimbulkan rasa resah buat penduduk.

“Kita bukan menolak pembangunan tetapi apalah gunanya pembangunan semula sekiranya penduduk tidak boleh menikmati manfaat itu terutamanya tidak boleh memiliki rumah sehingga mereka disisihkan,” katanya.

Dalam masa sama Johari yang juga Menteri Kewangan II mengingatkan DBKL dan pemaju agar tidak mengetepikan hak rakyat khususnya penduduk dalam membuat keputusan pembangunan semula.

“Kedua-dua pihak ini perlu mengadakan perbincangan secara terbuka bersama penduduk dan menjelaskan konsep pembangunan yang bakal dilaksanakan.

“Saya tidak mahu penduduk dipindahkan keluar dari kawasan Datuk Keramat dalam tempoh pembangunan. Bangunkan dahulu mana-mana tapak sebelum memindahkan penduduk,” katanya.