Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, guru-guru yang mengajar di bandar berdepan cabaran berbeza serta perlu bijak mengambil peluang yang lebih kreatif dan berinovasi dalam pengajaran di sekolah.

Katanya, hasrat kerajaan melalui Transformasi Nasional 2050 (TN50) merupakan langkah ke hadapan yang tepat untuk mendepani keadaan dan pembangunan sosial negara yang begitu dekat dengan dunia pendidikan.

“Hal ini disebabkan generasi era tersebut datangnya daripada murid-murid yang berada di bangku sekolah sekarang yang akan mencorak negara tahun 2050,” katanya dalam Majlis Perayaan Hari Guru Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2017, di sini hari ini.

Pada majlis itu, Tengku Adnan menyampaikan anugerah utama Tokoh Guru Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2017 kepada Pang Cheong Leong yang merupakan bekas Guru Besar SJK (C) Jalan Davidson, Bukit Bintang di sini.

Menurut Cheong Leong, perkhidmatan cemerlang selama 38 tahun sebagai pendidik itu merupakan kerjasama yang berkesan dengan bantuan pelbagai pihak iaitu Pejabat Pendidikan Negeri, guru-gurunya termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan murid serta bekas anak muridnya.

Katanya, menjadi seorang guru yang mampu menjadi penyumbang besar kepada sekolah dan sistem pendidikan negara sekurang-kurangnya memerlukan pengalaman mengajar 10 tahun sebelum dapat menampakkan hasil.

“Tidak kira di mana seorang guru itu ditempatkan baik di bandar mahupun luar bandar atau pedalaman sekalipun, tugas mengajar tidak ada bezanya selagi jati guru tersebut kekal kental mengajar anak bangsa,” katanya. - UTUSAN ONLINE