Ini susulan tindakan Mohamed Azmin mendakwa kelemahan kepemimpinan kerajaan Kelantan yang dinaungi Pas menjadi punca rakyat negeri itu berhijrah ke Selangor untuk memanfaatkan pelbagai peluang.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, penghijrahan ke bandar untuk bekerja adalah perkara biasa di mana-mana negara.

Malah, kata beliau, isu penghijrahan itu juga sudah lama berlaku sebelum PKR mengambil alih Selangor pada 2008.

“Apabila Pas berada dalam gabungan pembangkang PKR dari 1999 hingga 2015, pihak pembangkang menggunakan Kelantan sebagai contoh negeri terbaik yang dipimpin oleh kerajaan pembangkang. Sekarang Mohamed Azmin mengejek Kelantan kerana Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bakal diadakan.

“Sebenarnya, individu dari seluruh Malaysia pergi ke Selangor untuk bekerja. Malah, ini sudah lama berlaku sebelum PKR mengambil alih pada 2008. Situasi ini juga berlaku di kebanyakan negara luar. Jadi, jika Mohamed Azmin mahu mencari isu untuk membidas Pas, gunakanlah isu yang berasas,” katanya dalam blog, sskeruak.blogspot.my hari ini. - UTUSAN ONLINE