Pengerusi Jawatankuasa Ber­tindak Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Datuk Norhayati Omar berkata, salah satu contoh adalah dalam bidang fotografi.

“Kerjaya fotografi pada zaman kini semakin ramai diceburi oleh jurugambar wanita sekali gus membuktikan kaum wanita mampu bersaing dalam bidang tersebut.

“Bidang fotografi mempunyai banyak cabang dan mereka ha­nya perlu memikirkan bagaimana untuk menjana pendapatan yang lebih hasil daripada kemahiran yang dimiliki.

“Wanita perlu lebih berani ke hadapan untuk menceburi bidang kemahiran yang banyak dimono­poli oleh orang lelaki seperti bidang fotografi kerana jantina bukan penentu seseorang untuk berjaya,” katanya ketika ditemui dalam Karnival Fotografi Nismilan di Seremban Plaza di sini.

Yang turut hadir Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara) negeri, Mimi Mazlin Mohamad Yusof.

Sementara itu, Mimi Mazlin berkata, Mara menyasarkan sebanyak 3,100 usahawan di negeri ini akan dilatih menerusi pelbagai bidang kemahiran dan latihan pada tahun ini.

Katanya, Mara turut menawar­kan pembiayaan untuk golo­ngan usahawan yang layak melalui Skim Pembiayaan Mudah Jaya (SPMJ) dengan pinjaman maksimum sehingga RM500,000.